Sukma Angin ku genggam erat. Ku keluarkan kembali dari rak koleksi, ku tatap penuh syahdu, tanpa sedar airmataku mengalir. Ku tahu dikau kan pergi jua.
Pergi bersemadi bersama semangat kepahlawananmu meninggalkan jiwa lautmu pada nusa dan bangsamu.
Takut untuk melupakanmu, lalu segera ku cari segala maklumat pemergianmu.
Akan aku kuperturunkan kepada anak-anakku kelak akan dirimu,akan kusematkan dijiwa mereka jiwa kentalmu, semangatmu dan kasihmu pada bangsamu.
-------------------------
25 January 2009 - Catitan Faisal Tehrani
Arena Wati (1925-2009)
'Bengkok jarum pedoman cita-cita. Dekad akan datang, kau akan lihat agama di bibir, bukan di dada. Bahasa Melayu diejek. Budaya diganti tamadun lucah.' (Arena Wati: Busa Hati, Penerbit UKM, Halaman 349)
Cinta saya kepada Allahyarham dan karangannya amatlah mendalam. Novel beliau 'Bunga Dari Kuburan' telah sangat mengilhamkan sehingga saya menulis cerpen berjudul Anastasia (siaran Majalah Muslimah Oktober 1992). Pengaruh bapak terus berbekas dalam karya-karya awal saya.
Semoga, roh bapak akan dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama kekasih-Nya.
al-Fatihah.
Kemas Kini (4.35 Petang):
(Solat jenazah di Masjid Wilayah, antara yang turut hadir Tan Sri Ismail Husein, Dato Dr Anwar Ridhwan, Datuk Kemala, Dato Baha Zain dan Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah)
(Suasana di pusara, semua yang ada di situ sebak mendengar kata-kata balu Allahyarham sambil menabur kuntuman bunga, 'Ini sajalah pemberianku untuk kasih sayangmu, tidurlah lena dan nantikan aku di sini sampai kedatanganku.'
Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia.Ya dalam usia hampir 80 tahun, beliau masih menulis. Beliau pernah bersekolah di sebuah sekolah Belanda. Apabila perang dunia meletus, Arena Wati memulakan kariernya sebagai pelaut. Percayalah, tidak ada sasterawan yang dapat menulis hal laut sebaik Arena Wati, jika karya-karyanya diterjemahkan segera ke bahasa lain, tentu sahaja ia akan cepat dikagumi. Kefahaman dan perincian beliau tentang latar laut dalam karya-karyanya sangat hebat sehingga segala ombak yang rinci dan angin yang aneh turut dibentangkan. Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara. Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. (Nota tambahan: Beliau meninggal dunia pada 25 Januari 2009.)
(Petikan artikel saya di Kakiseni.Com).
Berita 'pemergian' Sasterawan Negara Arena Wati kelihatannya tidak mendapat tempat yang signifikan dalam media utama. Malah media di Indonesia turut 'mengeluh' kelewatan laman berita di Malaysia dalam melaporkan berita kematian beliau (lihat di sini.)